nuffnang ads

Khamis, 14 Julai 2011

UPSI lancar portal E-Buli bantu mangsa dibuli


Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini melancarkan portal E-Buli yang bertujuan membantu mangsa buli dan menangani penularan gejala tidak sihat itu khususnya di kalangan remaja.

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Aminah Ayob berkata melalui portal itu masyarakat di negara ini boleh memperolehi maklumat mengenai gejala buli di samping berinteraksi dengan pakar kaunseling yang disediakan UPSI.

“Maklumat di dalam portal itu merupakan hasil penyelidikan gejala buli yang dilakukan penyelidik UPSI sejak 2004,” katanya dipetik Bernama Online.

Aminah berkata bagi remaja, portal itu boleh dijadikan tempat meluahkan masalah yang dihadapi dan mereka boleh berinteraksi secara interaktif dengan pakar kaunseling UPSI melalui laman sosial Facebook yang dihubungkan melalui portal itu.

Beliau berkata penggunaan medium digital yang amat digemari remaja diharap dapat memudahkan proses mendekati generasi itu bagi mereka memahami mengenai gejala negatif yang semakin menular itu.

Katanya ibu bapa boleh menggunakan portal itu untuk berkongsi pengalaman serta mendapatkan maklumat dalam menangani isu buli yang dihadapi anak mereka.

Aminah berkata guru dan kaunselor digalakkan menggunakan laman web itu untuk berkongsi maklumat dan membantu menyelesaikan masalah buli yang berlaku di sekolah.

“Tidak ketinggalan para penyelidik di mana portal ini dapat digunakan untuk mengembangkan kajian dan berkongsi hasil kajian mereka mengenai gejala buli ini,” katanya.

Portal itu boleh dilayari menerusi laman web http://ebuli.upsi.edu.my.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan