nuffnang ads

Sabtu, 28 Mei 2011

Team Lotus, Proton boleh terus guna nama Lotus


Team Lotus kendalian Datuk Seri Tony Fernandes berkata sebuah mahkamah Britain telah memutuskan bahawa ia boleh terus menggunakan nama itu sepanjang kejohanan F1 meskipun Group Lotus milik pengeluar kereta nasional Proton juga boleh menggunakan jenama “Lotus”.

Mahkamah mengiktiraf kedua-dua pasukan ada hak untuk menggunakan nama kejuruteraan kereta ternama itu dalam perlumbaan tahunan global F1 sementara Proton ada hak ke atas nama itu bagi gunaan pada kereta keluarannya.

“Tuntutan Group Lotus untuk milik penuh nama dalam Team Lotus telah gagal,” kata Team Lotus dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Team Lotus dimiliki oleh pasukan perlumbaan 1 Malaysia Racing yang pengetuanya ialah Fernandes (gambar) iaitu Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group.

Personaliti lain dalam pasukan itu termasuklah pengerusi eksekutif bersama Kumpulan Naza SM Nasarudin SM Nasimuddin dan Kamaruddin Meranun juga dari AirAsia.

Kata kenyataan itu, hakim memutuskan bahawa Team Lotus memiliki nama berasingan dalam nama ‘Team Lotus’ dan tidak boleh dihalang oleh Group Lotus daripada menggunakan mana-mana satu dalam kejohanan berkaitan dengan F1.

“Ini adalah hujah utama mereka dalam kes dan objektif utama Group Lotus adalah untuk menghalang kami daripada berlumba di bawah nama Team Lotus. Atas poin ini, mereka telah kalah,” kata kenyataan itu.

Group Lotus dan Team Lotus telah merujuk pertikaian mereka di Mahkamah Tinggi London untuk mencari kata putus pihak yang berhak menggunakan nama dan jenama Lotus, yang merupakan jenama terkenal dalam dunia sukan F1.

Dalam penghakiman, Hakim Peter Smith memutuskan bahawa Group Lotus mempunyai hak untuk menggunakan jenama Lotus dalam lingkungan haknya dalam F1, Group Lotus berhak untuk menggunakan warna emas dan hitam yang menjadi warna tradisi mereka dalam F1, 1 Malaysia Racing Team didapati melanggari syarat-syarat persetujuan pemberian penggunaan lesen dan Group Lotus dianugerahkan pampasan, cap dagangan Team Lotus Ventures Limited dibubarkan dari diguna pakai, cap dagangan Group Lotus tidak terjejas dan Group Lotus mempunyai hak untuk menggunakan logo Lotus pada kereta untuk kegunaan di atas jalan raya.

Malah menurut Team Lotus, keputusan itu bermakna tiada kekeliruan berkenaan persamaan antara Team Lotus dan Lotus, dan meskipun cap dagangan pasukan itu bagi jenama “Team Lotus” telah digugurkan dalam soal tidak gunaan antara tahun 2003-2008, selain kini ada usaha untuk mendaftarkan semula cap dagangan itu.

“Satu-satunya poin yang Group Lotus menang ialah, yang hakim didapati memihak mereka ialah, Team Lotus telah melanggar perjanjian lesen dengan menghasilkan pelbagai barang dagangan tanpa kelulusan awal dan oleh itu, Group Lotus berhak untuk membatalkannya,” katanya.

Pun begitu, kata kenyataan itu, ia tiada sebarang kesan ke atas persoalan sama ada Team Lotus dibenar untuk terus menyertai perlumbaan di bawah nama Team Lotus.

Kenyataan itu menambah, pihaknya gembira dengan kehakiman itu dan tidak berhasrat untuk membuat rayuan berhubung keputusan-keputusan utama dalam pertikaian mereka.

Group Lotus difahamkan akan mengemukakan rayuan supaya mahkamah memutuskan agar hak mutlak penggunaan jenama Lotus dalam F1 diputuskan secara jelas demi kepentingan sukan lumba permotoran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan