nuffnang ads

Isnin, 11 April 2011

sisa tsunami jepun terapung di lautan pasifik


Tokyo: Sisa kemusnahan yang dihanyutkan ke laut berikutan gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun dilaporkan terapung di Lautan Pasifik dan boleh sampai ke Pantai Barat Amerika Syarikat.

Lebih 200,000 bangunan dihanyutkan gelombang kuat berikutan gempa bumi berukuran 9.0 skala Richter pada 11 Mac lalu.

Ada laporan menyebut, ada kereta, traktor, kapal yang karam malah seluruh bangunan rumah terapung di laut.

Lebih memeranjatkan ialah ramalan pakar laut Amerika, Curtis Ebbesmeyer yang percaya kaki manusia lengkap berkasut turut dihanyutkan ke Pantai Barat Amerika dalam masa tiga tahun.

“Saya meramalkan rumah, bot dan kaki yang masih memakai kasut kini terapung,” kata Ebbesmeyer yang menghabiskan masa selama berdekad menjejaki barangan terapung.

Beberapa ribu mayat dihanyutkan ke laut berikutan bencana terbabit dan ketika kebanyakan anggota badan akan putus dan pecah dalam air, kaki yang masih berkasut akan meneruskan perjalanan, kata Ebbesmeyer.

“Saya menjangkakan sesuatu yang tidak disangka,” katanya.

Krew Armada Tentera Laut ke-7 Amerika yang menemui sampah luar biasa yang terapung mengakui tidak pernah melihat sesuatu seperti ini dan memberi amaran ia memberi ancaman kepada kapal.

“Sampah ini memberi masalah kepada kapal yang cuba lalu kerana kebanyakan bot menggunakan kipas selain pukat dan ia boleh menjadi mengancam pihak yang cuba menanganinya,” kata Ensign Vernon Dennis kepada ABC News.

“Jadi berhadapan dengan halangan ini sebenarnya boleh menyebabkan lebih banyak kerosakan jika kapal anda terkandas ketika melintasinya.”

Saintis berkata, longgokan sampah pertama dari Jepun dijangka tiba di pantai barat Amerika dalam masa setahun selepas dibawa arus ke arah Washington, Oregon dan California.

Ia kemudian akan ke Hawaii dan balik semula ke Asia dalam apa yang dikenali sebagai putaran Pasifik Utara, kata Ebbesmeyer yang menemui kasut Nike, mainan mandian plastik dan sarung tangan hoki dari kapal kargo Asia serta menjejaki sampah lebih besar bergerak ke seluruh Pasifik dari Jepun.

Beliau bergantung pada ribuan pengunjung pantai untuk melaporkan lokasi dan maklumat lengkap apa yang ditemui.

“Bayangkan keadaan jika anda letak bandar utama dalam pengisar sampah dan taburkan sisanya ke laut,” katanya.

Sebahagian sampah yang sampai di Pantai Barat juga mungkin mengandungi radioaktif berikutan kerosakan loji nuklear Jepun, kata James Hevezi, pengerusi Suruhanjaya Kolej Radiologi Amerika Syarikat mengenai Perubatan Fizikal.

“Tetapi, ia mungkin berisiko rendah,” kata Hevezi. “Jumlah dalam barangan ketika itu mungkin tiba di Pantai Barat dengan kadar yang amat minimum.”

Hanya sebahagian kecil sampah akan dihanyutkan ke laut dan bagaimana cepat ia sampai ke sana dan di mana ia mendarat bergantung kepada apungan, bahan dan faktor lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan