nuffnang ads

Isnin, 9 Mei 2011

Hukum menghadiri jamuan bukan islam


Kita adalah negara berbilang kaum. Tentunya kita berkawan, berjiran dan bekerja dengan bangsa cina yang kebanyakannya makan khinzir atau memelihara anjing.

1) Perlukah kita menyamak tangan setiap kali berjabat tangan atau menerima sesuatu pemberian dari mereka?

2) Adakah kita mesti mengelak atau memberi alasan setiap kali bila undangan harijadi atau rumah terbuka pada tahun baru Cina di rumah mereka?

Jawapannya

Sebagai seorang Islam yang baik dan menghayati ajaran Islam dengan sempurna akan melaksanakan apa yang telah diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan apa yang telah dilarang oleh Allah. Sebagai seorang muslim dia perlu menjadi tauladan atau contoh yang baik sepertimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah. Dengan contoh tauladan yang baik, ini dapat menarik minat orang-orang bukan Islam untuk lebih mengenali Islam dengan lebih baik lagi. Hadis Nabi Muhammad saw yang bermaksud :

“Sampaikanlah walaupun dengan satu ayat” (Riwayat Al-Bukhari)

Berkawan atau berjiran dan bekerja dengan non muslim atau bangsa lain itu tidak salah dan tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Malah berkawan dengan orang bukan Islam adalah sebahagian metode dakwah yang paling baik untuk menyampaikan mesej Islam kepada mereka. Kalaulah haram kita berkawan dengan mereka bagaimana kita hendak berdakwah kepada mereka dan bagaimana kita hendak mendekati mereka. Tentu mereka akan merasa bahawa Islam telah menyisihkan mereka dan Islam juga adalah agama yang memusuhi semua agama.

Buktinya dapat kita lihat kewujudan negara Islam yang pertama iaitu Madinah, rakyatnya terdiri dari berbilang kaum dan agama. Malah Islam memberi jaminan keselamatan kepada mereka dengan wujudnya piagam Madinah. Hal ini juga telah dipersetujui oleh mereka dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Rasulullah.

Orang non muslim yang ada di negara kita ini bukan kafir harbi sepertimana yang telah didakwa oleh sesetengah pihak yang kononnya mereka ini adalah kafir harbi disebabkan mereka tegas dengan sesuatu kaum. Sepatutnya kita kena faham dan tahu maksud kafir harbi itu dahulu baru mendakwanya. Kafir harbi ini adalah orang bukan Islam yang menentang hukum Allah dan menzalimi atau memusuhi Islam seperti Yahudi yang merampas dan membunuh umat Islam Palestin, Tentera Amerika atau NATO yang menjajah dan membunuh umat Islam Iraq dan Afghanistan. Firman Allah yang bermaksud :

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang Yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.” (Al-Muntahanah : 8)

Perlukah Sertu Setelah Berjabat Tangan Dengan Mereka

Firman Allah yang membawa maksud :

“Wahai orang-orang Yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid Al-Haraam sesudah tahun ini; dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah : 28)

Syeikh Dr Yusof Al-Qaradhawi memetik kata Imam Shaukani rh bahawa apa yang dimaksudkan adalah najis tersebut bukanlah najis hissiyah, bahkan ia adalah najis hukum. Ini bermaksud bahawa aqidah orang-orang kafir ini yang najis, dan bukanlah fizikal badan mereka.

Kesimpulan yang dapat kita ambil dari pendapat di atas, orang yang bersalam dengan orang kafir tidak perlu membersihkan tangannya kerana mereka tidak menanggung najis. Memang mereka makan dan pegang najis yang berat iaitu najis muqallazah seperti anjing dan babi. Tetapi yang kita salam itu bukan ain (najis yang dapat dilihat) najis ia cuma tangan manusia biasa.

Untuk memperkukuhkan lagi hujah ini, ada riwayat yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad saw pernah minum dan mengambil wuduk dari bijana orang musyrikin dan baginda juga pernah makan makanan hidangan orang kafir.

Menghadiri Majlis Rumah Terbuka Atau Hari Jadi Orang Kafir

Menghadiri majlis rumah terbuka atau sebagainya adalah harus sebagaimana yang tidak melibatkan perayaan atau upacara keagamaan mereka. Sahabat Umar bin Al-Khattab ra berkata :

"Janganlah kalian memasuki tempat ibadah orang kafir pada saat mereka sedang merayakan hari agama mereka, kerana kemarahan Allah akan turun kepada mereka."

Larangan ini bertujuan untuk menghindarkan diri kita dari melakukan apa-apa upacara yang melibatkan keagamaan kerana ia melibatkan akidah atau kepercayaan kita. Takut-takut nanti tertarik pulak dan timbul bisikan dalam hati yang mengatakan bahawa agama kafir ini adalah baik dan mudah dari Islam, ini boleh menyebabkan akidah kita menjadi rosak.

Jamuan yang dihidangkan oleh orang bukan Islam yang tidak melibatkan benda-benda yang syubhah boleh dimakan seperti KFC, air kotak, air botol, masakan orang muslim atau seumpamanya boleh dimakan. Kalau hidangan yang jelas haram seperti arak, babi atau sebagainya tidak boleh dimakan oleh orang muslim. Sepatutnya sebelum menghadiri majlis tersebut, terlebih dahulu kita memberi penerangan kepada kawan bukan Islam kita supaya ia lebih faham tentang halal dan haram yang terdapat dalam Islam.

Penutup

Harus bersalam dengan orang bukan Islam kerana jasad mereka tidak najis, tetapi yang najis adalah akidah mereka. Harus juga bagi orang muslim untuk menghadiri majlis kenduri yang dianjurkan oleh orang bukan Islam selagimana ia tidak melibatkan majlis keagamaan mereka. Jamuan yang disediakan yang tidak melibatkan benda-benda haram atau syubhah harus dimakan. Tidak sepatutnya kita meminggirkan orang bukan Islam, kerana mendekati mereka boleh menarik minat mereka terhadap agama Islam yang sentiasa membawa kedamaian kepada semua bangsa agama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan