nuffnang ads

Ahad, 22 Mei 2011

Hidup mati Jazz


Aku mungkin budak kampung yang datang dari ceruk utara semenanjung, tapi aku suka jazz, boleh? Janganlah marah, aku bukannya tak sedar diri atau apa, aku memang sukakan irama itu. Ya, memang aku suka irama lain juga, keroncong, tradisional, muzik dunia dan pop. Tapi jazz mungkin berada di atas sekali.

Aku sering mencari tempat jazz bergema bila berada di kota-kota Bangkok, Jakarta, Glasgow, London, Paris, Seoul, Tokyo hinggalah ke Los Angeles dan New York. Kalau ada waktu, aku pasti berada di situ, mendengar dan menghidu suasana jazz secara langsung.

Dulu di KL (Kuala Lumpur), sekitar awal tahun 1980an pun ada beberapa tempat permainan jazz, seperti All That Jazz di SS3 Petaling Jaya dan di Damansara Utama, dan kemudiannya berpindah ke tempat-tempat lain.

Kemudian ada pula festival-festival jazz yang muncul sana sini, tapi kemudiannya tenggelam. Pernah Jazz Festival di Kiara Green, Mont Kiara Jazz Festival, dan Penang Jazz Festival, tapi beritanya tak sekencang lagi.

Sekarang ini katanya sudah ada beberapa tempat jazz baru di KL, yang adanya di No Black Tie di Bukit Ceylon serta di Alexis Great Eastern Mall Ampang. Pernahlah beberapa kali aku ke sana menikmati irama yang boleh membuat bibir berdetap.

Irama ini juga sudah masuk ke Dewan Filharmonik Petronas di Twin Towers KLCC, tempat canggih yang dipenuhi pemain muzik klasik yang dibayar berpuluh ribu ringgit. Agaknya anak tempatan dibayar tak sebanyak itu?

Aku hanya mula mendengar irama jazz ini bila bercampur dengan budak-budak KL di ITM(Institut Teknologi Mara), Shah Alam, semasa berumur lapan belas tahun. Aku masuk kumpulan ini yang ada sepuluh budak lelaki dan sepuluh budak perempuan, rata-ratanya pelajar-pelajar perakaunan, pengajian perniagaan, pengangkutan, insurance, kejuruteraan, statistik, sains komputer dan undang-undang di awal 1980an.

Kami semua suka bersukan tennis, ragbi, berenang dan mendengar jazz. Bunyi macam pelik jugak, macam tak percaya pulak, tapi itulah hakikatnya. Di antara pemuzik yang kami dengar pada waktu itu termasuklah Shakatak, Grover Washington, Sadao Watanabe, Earl Klugh, Spiro Gyra, George Benson dan banyak lagi.

Beberapa waktu kemudiannya aku diperkenalkan kepada lagu-lagu jazz Indonesia yang dibawa masuk melalui Pulau Penang, seperti Vina Panduwinata, Utha Likumahua, Harvey Malaiholo, Karimata, Faris, Indra Lesmana, Januari Christie, Chrisye dan lain-lain.

Memanglah jazz dipelopori oleh kaum Afrika Amerika di Selatan Amerika Syarikat pada permulaan abad ke dua puluh, yang menggabungkan tradisi muzik Afrika dan Eropah. Pengaruh Afrika Barat kuat sekali dalam jazz terutamanya dengan penggunaan nota biru, improvisasi, kepelbagaian rentak, sinkopasi serta nota swing. Manakala nama jazz itu sendiri yang dulunya disebut jass bermula do pantai barat Amerika dengan nada slang yang merujuk kepada muzik di Chicago pada tahun sekitar 1915.

Memanglah muzik ini sudah banyak berpecah berkembang kepada pelbagai subgenre, New Orleans Dixieland sekitar tahun 1910, stail big band swing sekitar 1930-1940an, bebop sekitar pertengahan 1940an, pelbagai jazz latin termasuk jazz Brazil, afro-cuba, free jazz dari tahun 1950an dan 1960an, jazz fusion from tahun 1970an, acid jazz dari tahun 1980an, yang juga termasuk funk dan pengaruh hip-hop, serta Nujazz dalam tahun 1990an.

Pendek kata muzik ini telah menjelajah ke suluruh dunia dan mengambil ciri-ciri muzik lokal, nasional serta regional. Estetikanya telah diubahsuai, samada diadaptasi dan diadopsi mengikut ruang persekitarannya yang kemudiannya memberikan nafas yang berbeza, tahun demi tahun, penyanyi demi penyanyi, dan seterusnya memberikan cirri khasnya yang tersendiri.

Bentuk-bentuk muzik ini juga lahir di Malaysia. Di tahun 1980an juga kita sudah ada penyanyi Sheila Majid yang terkenal sebagi Ratu Jazz, kemudian pula lahir Fairuz Hussein sebagai Ratu R&B (Rhythm and Blues) dan Ning Baizura di tahun 1990an sebagai Ratu Soul. Mungkin ini terjadi kerana kita sudah mulai didatangi pemuzik-pemuzik dan penggubah lagu muda yang pulang dari pengajian di Berkeley School of Music di Boston.

Tetapi jika dilihat balik, kita sebenarnya sudah ada sejarah pemuzik-pemuzik dan penggubah-penggubah lagu jazz seperti P. Pamlee sendiri, walaupun beliau lebih bersifat versatile, Alfonso Soliano, Jimmy Boyle dan lain-lain lagi di tahun 1950an dan 1960an.

Mungkin RTM juga boleh dikatakan sebagai salah satu pemangkin irama jenis ini pada suatu waktu. Kita juga ada beberapa nama penyanyi yang mendendangkan irama jazz pada satu waktu seperti Zain Azman, Julie Soediro, Ahmad Daud, Lena, Alina Rahman, Fazidah Joned, Kartina Dahari.

Pada tahun lepas pula timbul konsep konsert muzik jazz yang dibawakan oleh “Malam Nada Biru”, diterajui oleh name besar seperti Roslan Aziz dan Fizar Harun dan lainnya di Actors Studio Bukit Bintang. Yang menariknya dari Malam Nada Biru gemerlap pula nama-nama baru seperti Atilia Harun dan Najwa Muhaidin yang kini melahirkan sebuah album Inggeris yang menarik perhatian ramai.

Apakah nada biru ini akan muncul semula meraih kegemilangannya dengan nada yang lebih rancak dan segar dalam bahasa yang berbeza? Atau terus bergolak dengan nada-nada indigenus yang lama terpendam dalam jiwa kita? Apa yang penting, aku terus memasang telinga pada irama jazz ini, yang tidak lagi menjadi nada kaum tertindas seperti di Amerika.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan