nuffnang ads

Jumaat, 8 April 2011

Matinya sebuah pustaka


Tatkala Matinya Seorang Jurujual (terjemahan kepada judul drama Death of a Salesman) hendak dibukukan pada tahun 1949, pengarangnya, Arthur Miller tidak mempunyai masalah untuk manuskripnya diterima oleh penerbit Viking Press. Lama kemudian setelah hakcipta dikembalikan kepada pengarang, Miller terus mendapat pelbagai tawaran untuk mencetak semula edisi seterusnya buku drama beliau itu termasuk dari syarikat buku terkemuka, Penguin Group.

Hari ini setelah begitu banyak dekad berlalu, Viking Press dan kumpulan Penguin yang diperbadankan masing-masing pada 1925 dan 1935 masih kekal menerbitkan buku dari pelbagai genre untuk bacaan masyarakat pembaca sedunia. Yang berbeza hanyalah struktur korporat – apabila pada 1975 Penguin Group mengambil alih Viking Press dan menjadikannya sebagai sebuah anak syarikat kumpulan penerbit tersebut.

Dalam dunia sastera dan perbukuan, kedua-kedua syarikat gergasi penerbitan ini tidak perlu pengenalan. Viking Press pernah menerbitkan karya pengarang dunia dalam kelas sastera arus perdana terpenting seperti John Steinbeck dan Saul Bellow tetapi dalam waktu sama turut menerbitkan sastera popular (yang dianggap oleh pentadbir sastera Melayu sebagai novel picisan) seperti karya penulis kisah seram Stephen King.

Penguin Books pula (sebelum menjadi sebuah syarikat induk penerbit buku) dan beribu pejabat di London, England adalah penerbit kepada karya pengarang seperti Ernest Hemingway, William Shakepeare dan ribuan lagi pengarang sastera arus perdana dan juga klasik.

Namun di sebalik namanya yang cukup popular, Viking dan Penguin bukanlah penerbit buku terbesar di dunia. Menurut sebeluah laporan, penerbit buku terbesar di dunia adalah Thompson (Canada) dengan perolehan tahunan kira-kira USD7.2 bilion. Manakala Pearsons (United Kingdom) pula menduduki tempat kedua dengan perolehan tahunan sebanyak USD7.0 bilion. Readers Digest, penerbit yang hanya menerbitkan buku-buku berinspirasikan majalah terkemuka mereka Readers Digest menduduki tempat ke-8 dengan perolehan tahunan USD2.6 bilion.

Seseorang tentu boleh berhujah hakikat betapa penerbit gergasi ini berjaya memperolehi perolehan sebanyak itu disebabkan penerbitan dalam bahasa Inggerisnya mampu menembusi pasaran antarabangsa kerana bahasa Inggeris adalah merupakan bahasa antarabangsa yang dipelajari dan dituturkan di seluruh dunia.

Namun hujah ini tidak semestinya benar. Penerbit ke-3, ke-4, ke-5 dan ke-6 terbesar di dunia dengan perolehan tahunan masing-masing sebanyak USD6.4 bilion, USD6.1 bilion, USD4.9 bilion dan USD3.1 bilion adalah syarikat yang menerbitkan penerbitan mereka secara ekslusif dalam bahasa Jerman dan Belanda.

Terdapat beberapa perkara yang menarik tentang kemajuan yang dicapai oleh penerbit yang disebut ini. Pertama selain daripada pertimbangan keuntungan, ia juga merancakkan dunia sastera. Kedua ia turut melahirkan pengarang agung dunia. Dan perlu juga difahamkan bahawa semua penerbit ini adalah penerbit persendirian, dengan ada di antara sejarah pengwujudannya dapat dikesan dari modal yang dilaburkan oleh seorang individu sahaja. Dalam lain perkataan, sumber kewangan yang ada untuk memajukan syarikat dan kemudiannya industri penerbitan ini adalah sumber persendirian yang terhad.

Pada tahun 1956, iaitu 31 tahun setelah Harold K. Guimzburg dan George S. Oppenheim berkongsi menubuhkan syarikat penerbitannya di New York, Amerika Syarikat, di Malaysia pula yang ketika itu masih Malaya kerajaan telah menubuhkan Dewan Bahasa & Pustaka (DPB) sebagai sebuah jabatan di bawah Kementerian Pelajaran dengan objektif mengembangkan bahasa dan sastera Melayu.

Jika dibandingkan dengan kelahiran Viking Press dan penerbit lain yang disebut dalam rencana ini, maka kelahiran DBP tentulah jauh lebih istimewa, lebih penting dan lebih mengambil kira soal maruah bangsa dari sekadar mencari untung menerusi pelaburan individu seperti yang dilakukan oleh Guimzburg, Oppenheim dan lain-lain.

Malah dari segi sumber, sejak penubuhannya dan dari masa ke semasa sehinggalah dikorporatkan tatkala kerajaan UMNO-BN sibuk melaksanakan dasar penswastaan dan malah sehingga hari ini, DBP mempunyai kelebihan yang tidak dimiliki baik oleh Penguin Group atau mana-mana penerbit lain termasuk 10 syarikat penerbit terbesar di dunia. Kelebihan yang dimaksudkan itu sudah tentulah dari segi sumber kewangan. Oleh kerana DPB adalah milik penuh kerajaan dan ia mempunyai tanggungjawab mengembangkan bahasa dan sastera Melayu (disamping sesekali ada seorang dua pemimpin atau aktivis sastera, jenis yang berkot dan bertali leher, yang bercakap tentang mahu karyawan Melayu menerima Hadiah Nobel dalam bidang sastera), maka sudah tentulah sumber kewangan yang perlu dilaburkan untuk melunaskan tanggungjawab ini sepatutnya tidak terhad sama sekali.

Dan sekiranya masih belum ada pengarang Melayu atau pengarang Malaysia mampu menerima Hadiah Nobel, namun sekurang-kurangnya buku sastera Melayu semua genre setidak-tidaknya mempunyai penyebaran yang luas dan DBP pula muncul sebagai penerbit buku Melayu paling unggul di dunia. Bukankah bahasa Melayu itu merupakan satu lingua franca dunia dan merupakan bahasa keempat paling ramai ditutur di dunia ini.

Namun hari ini DPB bukan sahaja gagal untuk muncul sebagai yang dikatakan. Malah namanya juga semakin kurang disebut oleh penulis dan audien pembaca Malaysia. Sebaliknya apabila bercakap tentang dunia novel, umum lebih selesa dengan nama-nama penerbit persendirian lain yang kini semakin rancak tumbuh dan mengambil peluang dari perkembangan jumlah peminat novel Melayu sejak, mungkin sedekad lalu.

Malah dari segi buku teks dan akademik DPB juga seolah-olah gagal bersaing atau memberikan persaingan sepatutnya kepada penerbit swasta yang menerbitkan pelbagai buku ilmiah, buku ulangkaji, buku soalan contoh dan sebagainya.

Nampaknya barah pentadbiran dan pemahaman serta pemimbangan fungsi di antara mengkomersialkan pengarang Malaysia dengan peranan memperkembangkan bahasa sudah menjangkiti DPB sejak permulaan masa lagi. Para pengimpi sastera yang bertugas di badan itu sama ada sentiasa mengimpikan sesuatu yang tidak realistik atau tidak faham sama sekali betapa nadi dan nafas sastera adalah mengenai penulis dan hasil penulisan mereka dan bukannya mengenai so-called pemikiran sastera atau kegiatan badan sastera yang tidak mendatangkan sebarang hasil dan faedah.

Bagi mereka yang dipilih mengetuai badan ini pula, sementara imej berkot dan bertali leher cocok dengan imej sebuah badan korporat tersenarai di Bursa Malaysia, namun hakikatnya kemampuan yang dimiliki dari segi selok belok pengurusan dan kreativiti pemasaran dan perniagaan bukan sahaja seolah-olah menghampiri sifar tetapi ia cenderung ke arah ‘matinya sebuah pustaka’.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan