nuffnang ads
Sabtu, 6 Ogos 2011
Kelebihan setiap hari di bulan Ramadhan
Salam Ramadhan Al- Mubarak buat semua Umat Islam..sekarang kita telah memasuki bulan yang penuh dengan kerahmatan dan keberkatan..Sekarang ni la mase yang paling sesuai untuk kita berubah dan memperbanyak amalan kita..terdapat banyak kelebihan di bulan yang mulia ni..
Dari Abdullah bin 'Amr r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sampaikanlah PesanKu Biarpun Satu Ayat..."
Bulan Ramadan adalah bulan yang diturunkan seribu rahmat oleh Allah S.W.T. kepada manusia untuk memperbanyakkan amal soleh. Selain dari kewajipan berpuasa di siang hari , Rasulullah S.A.W. juga menganjurkan supaya kita dapat mengerjakan solat tarawih sepanjang malam bulan Ramadan. Tarawih juga membawa maksud ' bersenang-senang atau duduk istirehat '. Jadi solat tarawih itu dilakukan secara bersenang-senang di setiap malam bulan Ramadan.
Sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W. di dalam sabdanya yang
bermaksud:
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda : ' Barangsiapa
yang mengerjakan ibadat dan beriman dan perhitungan di bulan Ramadan
diampuni Allah dosanya yang telah lalu '.
Riwayat Bukhari dan Muslim. Di dalam sabdanya yang lain maksudnya:
'Bahawasanya Allah telah mewajibkan puasa Ramadan, dan aku telah mensunahkan berdiri pada malamnya (solat tarawih), kerana mengharapkan akan Allah oleh seseorang iaitu dengan berpuasa pada siang hari dan solat (solat tarawih) pada malamnya, nescaya keluarlah (selamatlah) dia dari dosa seperti dia dilahirkan oleh ibunya' .
Bagi sesiapa yang mengerjakan solat tarawih di sepanjang malam bulan Ramadan akan dijanjikan pahala yang amat besar oleh Allah. Saidina Ali bin Abi Talib Radiallah Anhu pernah bertanya kepada Rasulullah S.A.W., kemudian baginda menjawab 'orang-orang mukmin yang melakukan solat tarawih pada bulan Ramadan akan mendapat kelebihan seperti berikut:
Malam pertama
Dosanya keluar seperti ia baru dilahirkan oleh ibu.
Malam kedua
Dosanya diampuni, begitu juga dosa kedua ibu bapanya jika keduanya itu orang mukmin.
Malam ketiga
Dipanggil oleh malaikat dari bawah Arasy dengan seruan 'mulailah kamu beramal sebab Allah telah mengampuni dosamu yang telah lalu '.
Malam keempat
Pahalanya sama seperti orang yang membaca Kitab Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran.
Malam kelima
Pahala seperti orang yang solat di Masjid al Haram di Mekah, Masjid an Nabawi di Madinah dan Masjid al Aqsa di Palestin.
Malam keenam
Seperti pahala orang yang tawaf di Baitullah, batu-batu serta pasir turut sama memohonkan ampun baginya.
Malam ketujuh
Seperti orang yang hidup pada zaman Nabi Musa dan membantunya hingga dapat mengalahkan Fir'aun dan Haman.
Malam kelapan
Diberi oleh Allah segala apa yang pernah diberikan kepada Nabi Ibrahim.
Malam kesembilan
Seperti pahala beribadat kepada Allah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W
Malam kesepuluh
Dikurniakan oleh Allah kebaikan di dunia dan akhirat.
Malam kesebelas
Bersih dari segala dosa seperti baru dilahirkan dari kandungan ibu.
Malam kedua belas
Muka bercahaya di hari Kiamat.
Malam ketiga belas
Datang di hari Kiamat dengan keadaan aman dari segi kejahatan.
Malam keempat belas
Disaksikan oleh malaikat jika telah melaksanakan solat tarawih maka pada hari kiamat ia akan dibebaskan oleh Allah dari segala mudarat.
Malam kelima belas
Diminta ampun oleh para malaikat yang memikul Arasy dan kerusi.
Malam keenam belas
Dibebaskan dari api neraka dan dapat masuk syurga.
Malam ketujuh belas
Diberi pahala seperti pahala para nabi.
Malam kelapan belas
Diseru oleh para malaikat bahawa Allah telah redha kepadamu dan kepada orang tuamu.
Malam kesembilan belas
Diangkat darjatnya ke dalam syurga firdaus.
Malam kedua puluh
Diberi pahala para syuhada dan solihin.
Malam dua puluh satu
Dibina rumahnya dari nur di dalam syurga.
Malam ke dua puluh dua
Di hari Kiamat ia akan datang dengan aman dari segala kesusahan dan dugaan.
Malam kedua puluh tiga
Dibangunkan sebuah kota untuknya di syurga.
Malam kedua puluh empat
Pahala seperti dua puluh empat permohonan dikabulkan.
Malam kedua puluh lima
Dihapuskan dari seksa kubur.
Malam kedua puluh enam
Pahalanya diangkat selama empat puluh tahun.
Malam kedua puluh tujuh
Dapat melintasi sirat dengan laju bagaikan kilat menyambar.
Malam kedua puluh lapan
Allah mengangkat dengan seribu darjat.
Malam kedua puluh sembilan
Seperti pahala seribu haji yang mabrur.
Malam ketiga puluh
Dipersilakan oleh Allah makan buah-buahan syurga dan mandi dengan air salsabil serta minum dari telaga Kausar.
Hebatnya ganjaran yang ALLAH bagi kepada kita andainya puasa kita setiap hari di bulan RAMADHAN, DITERIMA oleh ALLAH SWT.
Sesungguhnya kita berpuasa dengan penuh ketakwaan (yakni ketakutan) kepada ALLAH akan mendapat ganjaran yang tidak ternilai...insyaALLAH!
Jumaat, 5 Ogos 2011
Kelebihan Bulan Ramadhan
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.
1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-
2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-
3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-
4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-
5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-
PENERANGAN HADIS
1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.
2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.
3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.
4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.
5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.
6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.
7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.
8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.
9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.
10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.
11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.
Biografi
1. Kitab Fadhailul Awqat oleh imam Al-Baihaqi,ditahqiq oleh Adnan Abdul Rahman MajidAl-Qaisi,Maktabah Al-Mnarah,Makkah.
2. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-'Asqalani
3. Syarah sohih Muslim oleh imam An-Nawawi.
Bicara al-Quran mengenai kurma
Bulan Ramadan datang kembali menemui kita. Kedatangannya pada tahun ini seperti juga kedatangannya pada tahun-tahun lepas dengan membawa rahmat, keberkatan dan pengampunan daripada Allah SWT.
Kedatangan Ramadan juga tidak dapat lari daripada membawa pelbagai jenis makanan dan buah-buahan kepada kita.
Antara buah yang paling sinonim dengan Ramadan ialah buah kurma. Hakikatnya, kurma adalah sejenis buah yang sering diulang-ulang dalam al-Quran.
Setakat yang diketahui, perkataan yang memberi maksud pohon kurma atau buah kurma disebut lebih 20 kali di dalam al-Quran. Ia menggunakan beberapa lafaz iaitu al-Nakhl, al-Nakhlah, al-Nakhil, Rutab dan Linah.
Berbanding kalimah lain, kalimah al-Nakhl paling banyak disebut dalam al-Quran iaitu 11 kali, perkataan al-Nakhil pula diulang sebanyak tujuh kali, manakala perkataan Rutab dan Liinah pula masing-masing disebut sekali.
Secara umumnya, perkataan al-Nakhl memberi maksud pohon kurma. Perkataan al-Nakhlah digunakan untuk maksud sepohon kurma manakala al-Nakhil pula untuk memberi maksud pohon kurma yang banyak.
Perkataan Rutab pula memberi erti buah kurma yang masak, manakala perkataan Liinah pula mempunyai pelbagai tafsiran, antaranya pohon kurma yang tidak mengeluarkan 'ajwah atau kurma nabi dan ia adalah kurma yang paling bermutu.
Ada yang menafsirkan Liinah sebagai pohon kurma yang masih kecil dan sebahagian ulama mengatakan Nakhlah dan Liinah adalah dua nama yang mempunyai maksud yang sama.
Dalam al-Quran, Allah sering mengingatkan manusia bahawa pohon kurma yang tumbuh di bumi ini merupakan salah satu daripada tanda-tanda kekuasaan-Nya.
Oleh itu manusia hendaklah memerhatikan kekuasaan Allah itu dan mengakui keagungan-Nya. Contohnya, firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan. Maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau. Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu biji yang banyak; dan dari mayang kurma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun anggur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah dan (perhatikan pulalah) kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman. (al-An'am: 99)
Ayat di atas jelas menunjukkan kekuasaan Allah di dunia ini dengan menumbuhkan pelbagai jenis tanaman dan tumbuhan. Antaranya kurma, anggur, zaitun dan tumbuhan lain. Semua kejadian itu menunjukkan tanda-tanda kekuasaan Allah SWT bagi orang-orang yang beriman.
Nikmat yang wajib disyukuri
Kebun kurma adalah satu nikmat yang dikurniakan Allah kepada manusia yang semestinya disyukuri. Cara bersyukur adalah dengan cara menyedekahkan atau mengeluarkan zakat sebahagian daripada hasil buah kurma tersebut kepada fakir miskin.
Ini dijelaskan oleh Allah SWT yang bermaksud: Dan Dialah yang menjadikan kebun-kebun yang berjunjung dan yang tidak berjunjung, pohon kurma, tanam-tanaman yang bermacam-macam buahnya, zaitun dan delima yang serupa (bentuk dan warnanya) dan tidak sama (rasanya). Makanlah dari buahnya (yang bermacam-macam itu) bila dia berbuah, dan tunaikanlah haknya di hari memetik hasilnya (dengan disedekahkan kepada fakir miskin); dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan. (al-An'am: 141)
Dalam al-Quran, Allah SWT memberi perumpamaan terhadap pohon kurma dalam dua ayat iaitu surah al-Qamar ayat 20 dan surah al-Haqqah ayat 7.
Kedua-dua ayat itu menceritakan kisah kaum 'Ad yang dimusnahkan Allah kerana keingkaran dan kekufuran mereka dengan ribut yang sangat kuat.
Keadaan kemusnahan mereka itu diumpamakan seperti pohon-pohon kurma yang telah tumbang (Nakhlin mun'aqir) dan pohon-pohon kurma yang sudah usang (Nakhlin Khawiyah).
Dalam surah al-Baqarah ayat 266 pula Allah SWT memberi satu perumpamaan terhadap orang-orang yang menafkahkan hartanya dengan riak dan membangga-banggakan tentang pemberiannya kepada orang lain (tidak ikhlas), seperti seorang pemilik kebun kurma dan anggur yang luas namun ketika itu dia sudah tua, dia tidak dapat menjaga kebunnya dengan baik, sedangkan ketika itu juga anak-anaknya masih kecil.
Kemudian kebunnya itu musnah kerana terkena angin yang kencang dan terbakar oleh api marak. Maksudnya di sini adalah orang yang bersedekah tanpa keikhlasan tidak akan mendapatkan pahala di akhirat nanti seperti kebun kurma tersebut, meskipun luas dan subur tetapi kemudian terbiar, musnah dan terbakar.
Golongan yang ingkar
Dalam surah al-Israk ayat 91, Allah menceritakan kisah orang-orang kafir Mekah yang tidak mampu menandingi al-Quran, meskipun mereka adalah sasterawan yang hebat. Oleh kerana tidak mahu beriman, maka mereka mencari pelbagai alasan lain untuk menolak dakwah Nabi SAW.
Mereka turut mencabar agar nabi menunjukkan kemukjizatan-kemukjizatan baginda. Antara permintaannya adalah nabi membuat kebun kurma dan anggur yang mengalir di tengahnya sungai-sungai.
Dalam surah Taha ayat 71 pula diceritakan kemarahan Firaun kepada tukang-tukang sihirnya, selepas mereka beriman kepada Nabi Musa.
Firaun mengancam bahawa dia akan memotong tangan dan kaki tukang-tukang sihirnya yang beriman secara bersilang, dan dia akan menyalib mereka pada pangkal pohon kurma supaya orang ramai melihat keadaan mereka.
Dalam surah al-Kahfi ayat 32 pula Allah SWT menceritakan kisah dua orang lelaki yang seorangnya mukmin dan seorangnya kafir. Lelaki yang kafir ini mendapat nikmat yang banyak daripada Allah dengan dianugerahi kebun anggur dan kurma yang luas. Yang tidak mahu bersyukur dan tidak meyakini hari kiamat, kebunnya kurmanya di dimusnahkan Allah SWT sebagai hukuman di atas kesombongannya.
Kisah Maryam
Ayat ke 23 hingga 25 dalam surah Maryam menceritakan keadaan Maryam semasa hendak melahirkan Nabi Isa. Ketika itu Maryam merasa amat sakit sehingga dia bersandar pada pangkal sebatang pohon kurma. Semasa sakit tersebut dia mengadu kepada Allah dengan mengatakan alangkah baiknya sekiranya dia mati sebelum ini.
Namun Allah memberi khabar gembira kepadanya melalui malaikat Jibril agar jangan bersedih kerana Allah telah menciptakan aliran air di bawahnya dan memerintahkannya untuk menggoyangkan pangkal pohon kurma yang berada berhampirannya dan pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadanya.
Dia kemudiannya meminum air dan memakan buah kurma yang jatuh tersebut untuk mengembalikan kekuatan tubuhnya.
Sungguhpun prinsip umum dalam peperangan mengikut etika Islam ialah larangan daripada memusnahkan tanaman termasuklah kurma. Namun semasa memerangi orang kafir, tentera Islam diharuskan menebangkan pohon kurma sekiranya ada maslahat dan keperluan untuk melakukannya.
Hal ini dirakamkan oleh firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat lima.
Kurma sama ada pohon dan buahnya sering diulang-ulang oleh Allah SWT dalam al-Quran lebih daripada 20 kali.
Ini memberi gambaran bahawa pohon ini amat dekat di hati masyarakat ketika itu apatah lagi ia mempunyai nilai khasiat yang besar kepada kesihatan manusia. Nabi SAW sendiri menjelaskan kelebihan buah kurma dalam beberapa hadis baginda malahan perkara ini turut diakui oleh kajian sains moden.
Kelebihan-kelebihan kerana kandungan gizinya menjadikan ia salah satu juadah yang sangat sederhana namun sangat berkhasiat baik semasa berbuka maupun ketika sahur.
Jika kita memilih untuk berbuka dan bersahur dengan kurma maka semaikan pengajaran bagi diri dan seluruh kaum keluarga kita bahwa bahawa kurma itu sesungguhnya adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah SWT jua.
Langgan:
Catatan (Atom)


