nuffnang ads
Isnin, 29 Ogos 2011
salam raya dari blogger
Saya menyusun 10 jari memohon maaf kepada
semua kenalan saya, tidak kira kita pernah
berjumpa atau hanya kenal melalui internet
sahaja. di mana sahaja anda berada..
Terima kasih kerana terus membaca blog dan
berkongsi ilmu serta mengikuti blog saya..
Salam aidilfitri dari saya dan maaf zahir batin!
~ Selamat hari raya & berhati-hati di jalan raya!
ikhlas,
manz
ps: Tidak lupa salam kemerdekaan untuk semua
rakyat Malaysia..! Merdeka! :)
Jumaat, 26 Ogos 2011
Ketam ganjil
Seorang nelayan menangkap seekor ketam ganjil yang wajahnya dikatakan mirip makhluk asing dalam filem Predator yang dibintangi pelakon Arnold Schwazenegger pada tahun 1980-an, lapor sebuah akhbar semalam.
Ketam itu kini ditempatkan di Akuarium Blue Reef di Southsea, Hampshire, Britain selepas haiwan tersebut diserahkan untuk dipamerkan baru-baru ini.
Haiwan tersebut turut dikenali sebagai ketam span dan ia boleh menyamar dan mengelak daripada dilihat menerusi pemandangan mata semasa haiwan tersebut berada di dasar laut.
Ketam itu akan dipamerkan kepada orang ramai selepas ia selesai dikuarantin
Rabu, 24 Ogos 2011
Kisah Uwais Al-Qarni
Setiap orang yang masih mempunyai ibu wajar menimbang-nimbang hubungannya dengan orang yang telah mengandungnya selama sembilan bulan. Sembilan bulan penuh sabar dan payah membawa bebanan dalam kandungan yang berat. Kemudian bertarung nyawa dihiris kesakitan ketika melahirkan si anak. Dijaganya sejak bayi ditatang sehingga besar.
Apakah bayi yang merah itu kini sudah menjadi tuan-tuan kepada orang yang melahirkannya? Apakah ibu-ibu tua ini sekarang sedang menyepi hiba di rumah kebajikan orang-orang tua? Untuk semua dari kita yang masih mempunyai ibu, terutamanya ibu yang sudah lanjut usia dan uzur, marilah kita renung sejenak pada bulan Ramadhan yang mulia ini, kisah kasih sejati seorang anak terhadap ibunya.
Mudah-mudahan baki usia ibu yang sudah tidak beberapa lama lagi mengungsi alam fana ini menjadi masa keemasan bagi anak yang soleh untuk berbakti kepada ibu yang tiada lagi ganti sekiranya mereka menyahut panggilan Ilahi nanti.
Nabi Muhammad s.a.w. pernah meminta Saidina Umar dan Saidina Ali r.a. agar berjumpa dengan Uwais al-Qarni di Yaman. Tujuannya hanya agar dua orang sahabat Baginda itu meminta kepada Uwais al-Qarni agar mendoakan mereka agar diampunkan dosa oleh Allah. Apakah rahsia besar kelebihan Uwais al-Qarni hingga Rasulullah s.a.w. mengangkat namanya begitu tinggi dalam sejarah kemuliaan seorang insan?
Uwais al-Qarni ialah nama kecil di sebuah perkampungan di Yaman. Dia menghidapi penyakit kulit (sopak). Suatu hari ibunya yang sudah tua berhasrat untuk menunaikan haji di Mekah. Sebagai keluarga yang miskin tentulah mustahil baginya untuk membeli atau menyewa unta untuk dijadikan pengangkutan bagi perjalanan yang amat jauh itu. Namun sebagai anak yang meletakkan ibunya di singgahsana hatinya, dia tidak sesekali berkata tidak. Dia berjanji kepada ibunya untuk memenuhi hajat ibunya yang sudah uzur itu. Walaupun, dia tidak mampu mencari kenderaan untuk perjalanan yang jauh itu, Uwais menggunakan sedikit wang yang dimilikinya untuk membeli seekor anak lembu.
Dibuatnya sebuah kandang di atas bukit. Pagi, dia akan mengendong anak lembu itu turun untuk diberi makan. Petang, dia akan mengendong anak lembu itu ke atas bukit untuk disimpan di kandang tersebut. Cukup 8 bulan, besarlah anak lembu itu.
Apabila tiba saat yang sesuai, Uwais berkata ibunya, “wahai ibu, bolehlah kita mula berangkat ke Mekah kerana musim haji tiba tidak berapa lama lagi.”
“Habis Uwais, di manakah kita akan mendapatkan kenderaan untuk ke sana?” tanya ibunya.
“Jangan bimbang wahai ibuku. Saya akan mengendong ibu di bahagian depan saya dan barang bekalan di belakang saya.”
Terkejut si ibu mendengarkan jawapan si anak. Demikianlah besarnya tekad Uwais demi ibunya. Rupa-rupanya dia membeli lembu dan mengendongnya naik dan turun bukit adalah sebagai latihan jasmani agar dia kuat mengendong ibunya yang sudah uzur.
Berangkatlah Uwais al-Qarni dengan mengendong ibunya dan bekalan. Akhirnya sampailah mereka di Mekah. Ketika mengerjakan tawaf dan sa’i, mulut Uwais tidak putus-putus membaca sesuatu. Lalu ibunya bertanya, “apa yang kau baca tidak putus-putus wahai anakku. Sila beritahu kepadaku.”
“Ibu, saya hanya membaca doa agar Allah mengampunkan dosa-dosa ibu.”
Demikian sikap terpuji seorang anak yang sukar ditemukan dalam hidup ini.
Lalu berkata ibunya lagi,” Kalau begitu, ibu mahu engkau berdoa agar Allah menyembuhkan penyakit sopakmu.”
“Ibu, masakan saya hendak menolak anugerah Allah kepada saya. Sopak ini adalah pemberian Allah kepada saya. Saya tak akan menolaknya, ibu.”
“Tidak. Sekali ini, ibu mahu engkau ikut cakap ibu.”
Maka tidaklah mampu lagi Uwais mengecewakan harapan ibu kesayangannya. Dengan hati yang amat berat, maka berdoalah Uwais dengan kata, “Ya Allah, kerana mentaati kemahuan ibuku, aku bermohon agar Engkau sembuhkanlah penyakit sopakku. Tetapi tinggalkan sedikit pada tubuhku agar aku tidak kufur akan nikmat-Mu.”
Apabila Saidina Umar dan Saidina Ali r.a. berjumpa dengan Uwais al-Qarni, benarlah ada tanda sebesar duit syiling di belakang tengkuknya. Itulah bekasan penyakit sopak yang masih terdapat pada tubuh Uwais. Lalu dua sahabat Rasulullah s.a.w. itu meminta Uwais berdoa kepada Allah agar dosa mereka diampunkan seperti yang diminta oleh Rasulullah s.a.w. itu.
Demikianlah kisah seorang insan kecil yang besar di sisi Allah. Beruntunglah sesiapa yang masih ada ibu bapa yang sudah tua. Mereka berpeluang berbakti kepada ibu bapa seperti yang telah dilakukan oleh Uwais al-Qarni ini. Di samping itu, jangan lupa untuk perbanyakkan istighfar. Sedangkan Saidina Umar dan Saidina Ali yang dijamin syurga oleh Rasulullah s.a.w. masih diminta memohon ampun, apa lagi kita yang belum tentu ke mana langkah penamat kita. WalLahu ‘alam
Isnin, 22 Ogos 2011
Malam Lailatul Qadar
Bulan Ramadhan sudah hampir tiba ke penghujungnya. Wahai muslimin dan muslimat sekalian, rebutlah pahala di sepuluh malam yang terakhir ini sesungguhnya di sepuluh malam yang terakhir ini. “Dimalam itu (Lailatul Qadr) malaikat dan ruh turun dengan izin Tuhan mereka …” (Al-Quran).
Pernah dimalam itu Al-Quran diturunkan dari Luh Mahfuz ke langit dunia, Baitul Izzah. Ramadan 1429H/2008M semakin berakhir. Mukmin sejati semakin menggiatkan ibadah mereka khususnya di seluruh 10 malam terakhirnya, yakin pahala di salah satu dari malam-malam tersebut digandakan pahalanya sebanyak ibadah yang sama dikerjakan selama 1000 bulan! Itulah malam Lailatul Qadar. Pada 10 malam tersebut, demi berebut untuk mendapatkannya, Rasulullah saw mengasingkan dirinya dari isteri-isterinya, beriktikaf di dalam Masjid Nabawi, beribadah dan bermunajat kepada Allah swt sambil diikuti oleh para Sahabat ra. Firman Allah swt bermaksud,
“Sesungguhnya Kami menurunkan (Al-Quran) dalam malam Lailatul Qadr. Tahukah kamu apa itu malam Lailatul Qadr. Malam Lailatul Qadr lebih baik dari 1000 bulan. Malaikat dan ruh turun pada malam itu dengan izin Tuhan mereka dalam semua urusan. Salam (sejahtera) malam tersebut hingga naik fajar” (Al-Quran).
Diantara ibadah-ibadah yang boleh dilakukan ialah qiamulail, puasa fardhu, berbuka, solat Tarawih, tilawah Al-Quran, berdoa, zikir, istighfar, memuhasabah diri, merancang untuk amalan diri, keluarga dan Dakwah dan sebagainya.
Beberapa tips dalam merebut pahala dan kelebihan malam Lailatul Qadar :
1. Bersedia untuk merebutnya dari sekarang terutama disegi keyakinan, kesungguhan merebut peluang tahunan ini dan merancang kalender harian agar mengosongkan 10 malam-malam terakhir tersebut untuk tujuan itu semata-mata, tidak untuk kesibukan lain.
2. Memahami bahawa dimana jawatan, kedudukan dan kesibukan kita di dunia ini, tujuan utama manusia dijadikan ialah untuk beribadah kepada Allah swt dengan penuh keikhlasan, bersedia untuk “Hari (Akhirat) yang tiada gunanya lagi harta dan anak-anak, melainkan orang yang bertemu Allah dengan hati yang sejahtera” (Al-Quran).
3. Putuskan dari sekarang masjid mana yang akan kita gunakan untuk Iktikaf, siang dan malam, samada sebahagian atau 24 jam sehari. Pastikan AJK masjid tersebut memahami ibadah Iktikaf dan Qiyamullail 10 Malam terakhir agar tidak berlaku masalah pengurusan dengan mereka yang tidak memahaminya.
4. Dapatkan teman agar sama-sama dapat melakukan ibadah tersebut secara berjemaah.
5. Jika anda bekerja dibawah majikan, kenalpasti hari-hari yang akan dimohon cuti agar dapat lebih hari untuk beriktikaf di masjid. Jika anda tidak dapat mengambil cuti kerja, anda boleh cuba berktikaf di masjid sepenuhnya dalam cuti hujung minggu pada hari Sabtu 27/9/2008 dan Ahad 28/9/2008.
6. Jika anda seorang pelajar, cuba habiskan kerja-kerja rumah atau assignments dari sekarang agar tidak tertimbun pada 10 malam terakhir Ramadan. Beli tiket balik kampung lebih awal agar tidak disibukkan mencari tiket nanti.
7. Bersedia untuk Aidil Fitri lebih awal, sebelum 10 Malam Terakhir, agar kita tidak disibukkan nanti dengan membeli belah, memasang langsir, membuat kuih muih, menyiap atau menjahit pakaian Raya dan sebagainya seperti yang sering berlaku pada ramai orang yang kurang memahami dan menghayati kelebihan 10 malam terakhir Ramadan.
8. Memahami bahawa asas perubahan ke arah kebaikan pada seseorang bahkan pada sesebuah umat ialah pembaikan jiwa yang ada di dalam diri masing-masing. Madrasah 10 Malam Terakhir Ramadan yang bakal dilalui boleh turut membantu mencapai kearah perubahan tersebut.
Semoga Allah mengurniakan ketaqwaan kepada kita setelah menjalani ibadah di bulan Ramadan ini. Kita keluar darinya nanti dengan beroleh rahmah, keampunan dan selamat dari api neraka. Amin..
Ahad, 21 Ogos 2011
Kisah Rasulullah SAW dan Buah Limau
Ya Rasulullah..Tidak terjangkau tinggi pekertimu, Tidak tergambar indahnya akhlakmu..kisah Rasulullah dan sebiji limau ini membuktikan segalanya, menjadi tauladan buat kita semua..
Suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk baginda. Cantik sungguh buahnya. Siapa yang melihat pasti terliur. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira. Hadiah itu dimakan oleh Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan tersenyum.
Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak. Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka. Rasulullah SAW terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu. Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda. Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah SAW itu.
Lalu mereka bertanya. Dengan tersenyum Rasulullah SAW menjelaskan "Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada di antara kalian yang akan mengenyetkan mata atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab tu saya habiskan semuanya."
Begitulah akhlak Rasulullah SAW. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, dan dari orang bukan Islam pula. Wanita kafir itu pulang dengan hati yang kecewa. Mengapa? Sebenarnya dia bertujuan ingin mempermain-mainkan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dengan hadiah limau masam itu. Malangnya tidak berjaya. Rancangannya di'tewas'kan oleh akhlak mulia Rasulullah SAW.
Kita hendaklah menghargai pemberian orang lain walaupun pemberian tersebut bukan kesukaan kita. Ucaplah terima kasih dan terimalah dengan hati yang ikhlas dan terbuka kerana setiap pemberian adalah rezeki daripada Allah.
Isnin, 15 Ogos 2011
Muslim Sweden berpuasa hingga 18 jam
Umat Islam di Sweden mengerjakan ibadat puasa bulan Ramadan lebih sukar tahun ini kerana terpaksa berlapar lebih lama - sehingga 18 jam kerana musim panas di utara Eropah.
Presiden Liga Islam Sweden, Encik Omar Mustafa, berkata ekoran isu itu, beberapa imam dan pertubuhan Islam berbeza pendapat tentang bagaimana penganut Islam di utara Eropah perlu berpuasa.
Belum ada sebarang keputusan berhubung perkara itu dicapai setakat ini, katanya.
'Ia terpulang kepada setiap individu untuk memutuskannya, tetapi itu tidak bermakna anda perlu berpuasa sepanjang hari.
'Islam memberikan umatnya banyak pilihan,' kata Encik Omar kepada akhbar Sweden, The Local.
Pada 1 Ogos lalu, umat Islam di Eropah mula berpuasa Ramadan yang jatuh pada musim panas apabila siangnya lebih panjang daripada biasa.
Sebagai contoh, pada Isnin lalu di bandar Umea di utara Sweden, terbit fajar bermula pada 3.47 pagi waktu tempatan dan matahari terbenam pada 9.41 malam - hampir 18 jam.
Isu itu kini masih dibincangkan oleh Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah (ECFR) yang melibatkan imam-imam di seluruh Eropah.
'Isu ini sebenarnya telah lama dibincangkan dan tahun ini kita mengikut pergerakan matahari, tetapi perbincangan masih dijalankan,' kata Encik Omar.
Bagaimanapun, cabaran itu sedikit pun tidak menjejas semangat umat Islam di negara itu menjalani ibadat berpuasa.
Malah, menurut rangkaian pasar raya Coop, jualan mereka meningkat terutamanya barangan keperluan sepanjang Ramadan ini.
'Kami mendapati jualan buah-buahan, sayur-sayuran, daging halal dan kurma meningkat,' kata pegawai media Coop, Cik Louise Stephan.
Dianggarkan kira-kira 200,000 daripada sembilan juta penduduk Sweden beragama Islam.
Khamis, 11 Ogos 2011
Port maksiat terbongkar
Masalah sosial remaja semakin membimbangkan setiap hari.
Sebelum ini, Sinar Harian pernah membongkar aktiviti menghidu gam dalam kalangan pelajar lelaki dan perempuan di sekitar kawasan jirat Cina di Taman Cendana sehingga mendapat perhatian pihak berkuasa tempatan (PBT). Gambar fail.
Semalam, Sinar Harian membuat pemantauan di sekitar kawasan itu sekitar jam 1 pagi dan menemui kawasan tersorok dipercayai digunakan remaja untuk melakukan hubungan seks.
Dari tinjauan dibuat mendapati, banyak seluar dalam dan coli wanita dibuang di kawasan itu.
Apa lebih menjijikkan apabila kondom yang sudah digunakan bertaburan di kawasan itu.
Pegawai Agama Daerah Kulim Kedah, Sheikh Radzi Abdul Mutalib berkata, ibu bapa seharusnya dipertanggungjawabkan sekiranya ada dalam kalangan anak mereka terlibat dalam masalah seumpama ini.
“Ibu bapa terlalu banyak melimpahkan kemewahan kepada anak-anak mereka. Selain itu, anak juga diberikan telefon bimbit yang canggih di mana mereka boleh memuat turun pelbagai aksi lucah di dalamnya,” katanya.
Dari tangkapan dibuat oleh Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK) terhadap pasangan yang melakukan maksiat selalunya adalah pelajar.
Beliau tidak menafikan pelajar lelaki dan perempuan hari ini lebih cenderung untuk menjalinkan hubungan cinta dari menimba ilmu pelajaran.
Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Elyas Saad berkata, bagi pelajar Tingkatan Lima dan Tiga khususnya, mereka seharusnya mengulang kaji pelajaran kerana peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) semakin hampir.
“Baru-baru ini, dua laporan polis dibuat apabila dua pelajar perempuan yang masih menuntut dirogol oleh teman lelaki mereka. Dari maklumat saya terima, kedua-dua mangsa ini sering melihat aksi lucah dalam telefon bimbit. Ini merangsang mereka untuk melakukan perlakuan tidak bermoral.
“Saya meminta PBT memantau perlakuan sumbang yang dilakukan oleh pelajar sekolah yang sering berkeliaran di pasar raya bersama teman lelaki masing-masing,” katanya.
Selasa, 9 Ogos 2011
Elak jual Akhirat kerana beli Dunia
Luqman Al-Hakim sentiasa memberikan kata-kata berguna kepada anaknya supaya dia berfikir dan mendalami maksud nasihat itu.Contohnya, beliau mahu anaknya tidak terlalu menerima bulat-bulat kebaikan seseorang kepadanya.
Mungkin, bimbang ada udang di sebalik batu di atas kebaikan itu. Katanya: “Hai anakku! Mohonlah perlindungan dengan Allah daripada segala kejahatan manusia dan berhati-hatilah engkau daripada segala kebaikan mereka.
“Jauhilah diri daripada musuhmu serta berhati-hati dengan kawanmu dan janganlah engkau menghalang sesuatu yang tidak berkaitan denganmu.”
Pada maksud yang hampir sama, katanya: “Dan janganlah engkau meminta pertolongan daripada orang yang akan memperdayakanmu dan orang yang keji perangainya kerana jika dia membalas permintaanmu itu, balasannya berupa keaiban buatmu. Dan sekiranya dia menunaikan hajatmu itu, ia hanya untuk kebanggaan (dirinya).
“Janganlah engkau meminta maaf kepada orang yang tidak suka melihat engkau memperoleh kemaafan.
Janganlah engkau meminta pertolongan daripada orang yang tidak suka melihat engkau mencapai kemahuanmu.”
Kebijaksanaan Luqman dalam memberikan nasihat turut dilihat apabila berkata: “Barang siapa yang bercerita kepada orang yang tidak mendengar akan percakapannya, ia seumpama orang yang membawa harta bendanya kepada ahli kubur.
“Hai anakku! Utuslah seorang yang bijaksana dan berwasiat padanya. Utuslah seorang yang bijaksana dan jangan pula engkau berwasiat (lagi) padanya.”
Kita hendaklah berhati-hati ketika memberi nasihat atau meluahkan sesuatu perkara kepada seseorang.
Biarlah nasihat itu didengar dan diikuti oleh orang itu. Jika memberi nasihat kepada mereka yang enggan mendengarnya, ibarat mencurah air ke daun keladi.
Luqman ketika menasihatkan anaknya supaya tidak terlalu mementingkan dunia berkata: “Jual duniamu untuk membeli akhiratmu, nescaya engkau akan untung keduaduanya sekali. Jangan sesekali engkau menjual akhiratmu semata-mata untuk membeli duniamu kerana itu menjadikanmu rugi kedua-duanya.”
Diriwayatkan, bahawa beliau berkata kepada anaknya: “Hai anakku! Aku akan memberikan rahsia padamu dengan dua perkara, apabila engkau berpegang dengan kedua-duanya engkau akan sentiasa dalam kebaikan: Setiap dirhammu (hartamu) untuk kehidupanmu (di atas dunia) dan agamamu untuk (bekalanmu) di hari akhirat.”
Luqman berkata lagi kepada anaknya: “Jangan engkau condong kepada dunia serta jangan hatimu (memikirkan) mengenainya. “Engkau tidak diciptakan untuk memikirkan hal keduniaan, sedangkan tidak ada ciptaan Allah yang lebih hina daripadanya.
Sabtu, 6 Ogos 2011
Kelebihan setiap hari di bulan Ramadhan
Salam Ramadhan Al- Mubarak buat semua Umat Islam..sekarang kita telah memasuki bulan yang penuh dengan kerahmatan dan keberkatan..Sekarang ni la mase yang paling sesuai untuk kita berubah dan memperbanyak amalan kita..terdapat banyak kelebihan di bulan yang mulia ni..
Dari Abdullah bin 'Amr r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sampaikanlah PesanKu Biarpun Satu Ayat..."
Bulan Ramadan adalah bulan yang diturunkan seribu rahmat oleh Allah S.W.T. kepada manusia untuk memperbanyakkan amal soleh. Selain dari kewajipan berpuasa di siang hari , Rasulullah S.A.W. juga menganjurkan supaya kita dapat mengerjakan solat tarawih sepanjang malam bulan Ramadan. Tarawih juga membawa maksud ' bersenang-senang atau duduk istirehat '. Jadi solat tarawih itu dilakukan secara bersenang-senang di setiap malam bulan Ramadan.
Sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W. di dalam sabdanya yang
bermaksud:
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda : ' Barangsiapa
yang mengerjakan ibadat dan beriman dan perhitungan di bulan Ramadan
diampuni Allah dosanya yang telah lalu '.
Riwayat Bukhari dan Muslim. Di dalam sabdanya yang lain maksudnya:
'Bahawasanya Allah telah mewajibkan puasa Ramadan, dan aku telah mensunahkan berdiri pada malamnya (solat tarawih), kerana mengharapkan akan Allah oleh seseorang iaitu dengan berpuasa pada siang hari dan solat (solat tarawih) pada malamnya, nescaya keluarlah (selamatlah) dia dari dosa seperti dia dilahirkan oleh ibunya' .
Bagi sesiapa yang mengerjakan solat tarawih di sepanjang malam bulan Ramadan akan dijanjikan pahala yang amat besar oleh Allah. Saidina Ali bin Abi Talib Radiallah Anhu pernah bertanya kepada Rasulullah S.A.W., kemudian baginda menjawab 'orang-orang mukmin yang melakukan solat tarawih pada bulan Ramadan akan mendapat kelebihan seperti berikut:
Malam pertama
Dosanya keluar seperti ia baru dilahirkan oleh ibu.
Malam kedua
Dosanya diampuni, begitu juga dosa kedua ibu bapanya jika keduanya itu orang mukmin.
Malam ketiga
Dipanggil oleh malaikat dari bawah Arasy dengan seruan 'mulailah kamu beramal sebab Allah telah mengampuni dosamu yang telah lalu '.
Malam keempat
Pahalanya sama seperti orang yang membaca Kitab Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran.
Malam kelima
Pahala seperti orang yang solat di Masjid al Haram di Mekah, Masjid an Nabawi di Madinah dan Masjid al Aqsa di Palestin.
Malam keenam
Seperti pahala orang yang tawaf di Baitullah, batu-batu serta pasir turut sama memohonkan ampun baginya.
Malam ketujuh
Seperti orang yang hidup pada zaman Nabi Musa dan membantunya hingga dapat mengalahkan Fir'aun dan Haman.
Malam kelapan
Diberi oleh Allah segala apa yang pernah diberikan kepada Nabi Ibrahim.
Malam kesembilan
Seperti pahala beribadat kepada Allah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W
Malam kesepuluh
Dikurniakan oleh Allah kebaikan di dunia dan akhirat.
Malam kesebelas
Bersih dari segala dosa seperti baru dilahirkan dari kandungan ibu.
Malam kedua belas
Muka bercahaya di hari Kiamat.
Malam ketiga belas
Datang di hari Kiamat dengan keadaan aman dari segi kejahatan.
Malam keempat belas
Disaksikan oleh malaikat jika telah melaksanakan solat tarawih maka pada hari kiamat ia akan dibebaskan oleh Allah dari segala mudarat.
Malam kelima belas
Diminta ampun oleh para malaikat yang memikul Arasy dan kerusi.
Malam keenam belas
Dibebaskan dari api neraka dan dapat masuk syurga.
Malam ketujuh belas
Diberi pahala seperti pahala para nabi.
Malam kelapan belas
Diseru oleh para malaikat bahawa Allah telah redha kepadamu dan kepada orang tuamu.
Malam kesembilan belas
Diangkat darjatnya ke dalam syurga firdaus.
Malam kedua puluh
Diberi pahala para syuhada dan solihin.
Malam dua puluh satu
Dibina rumahnya dari nur di dalam syurga.
Malam ke dua puluh dua
Di hari Kiamat ia akan datang dengan aman dari segala kesusahan dan dugaan.
Malam kedua puluh tiga
Dibangunkan sebuah kota untuknya di syurga.
Malam kedua puluh empat
Pahala seperti dua puluh empat permohonan dikabulkan.
Malam kedua puluh lima
Dihapuskan dari seksa kubur.
Malam kedua puluh enam
Pahalanya diangkat selama empat puluh tahun.
Malam kedua puluh tujuh
Dapat melintasi sirat dengan laju bagaikan kilat menyambar.
Malam kedua puluh lapan
Allah mengangkat dengan seribu darjat.
Malam kedua puluh sembilan
Seperti pahala seribu haji yang mabrur.
Malam ketiga puluh
Dipersilakan oleh Allah makan buah-buahan syurga dan mandi dengan air salsabil serta minum dari telaga Kausar.
Hebatnya ganjaran yang ALLAH bagi kepada kita andainya puasa kita setiap hari di bulan RAMADHAN, DITERIMA oleh ALLAH SWT.
Sesungguhnya kita berpuasa dengan penuh ketakwaan (yakni ketakutan) kepada ALLAH akan mendapat ganjaran yang tidak ternilai...insyaALLAH!
Jumaat, 5 Ogos 2011
Kelebihan Bulan Ramadhan
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.
1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-
2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-
3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-
4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-
5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-
PENERANGAN HADIS
1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.
2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.
3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.
4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.
5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.
6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.
7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.
8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.
9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.
10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.
11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.
Biografi
1. Kitab Fadhailul Awqat oleh imam Al-Baihaqi,ditahqiq oleh Adnan Abdul Rahman MajidAl-Qaisi,Maktabah Al-Mnarah,Makkah.
2. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-'Asqalani
3. Syarah sohih Muslim oleh imam An-Nawawi.
Bicara al-Quran mengenai kurma
Bulan Ramadan datang kembali menemui kita. Kedatangannya pada tahun ini seperti juga kedatangannya pada tahun-tahun lepas dengan membawa rahmat, keberkatan dan pengampunan daripada Allah SWT.
Kedatangan Ramadan juga tidak dapat lari daripada membawa pelbagai jenis makanan dan buah-buahan kepada kita.
Antara buah yang paling sinonim dengan Ramadan ialah buah kurma. Hakikatnya, kurma adalah sejenis buah yang sering diulang-ulang dalam al-Quran.
Setakat yang diketahui, perkataan yang memberi maksud pohon kurma atau buah kurma disebut lebih 20 kali di dalam al-Quran. Ia menggunakan beberapa lafaz iaitu al-Nakhl, al-Nakhlah, al-Nakhil, Rutab dan Linah.
Berbanding kalimah lain, kalimah al-Nakhl paling banyak disebut dalam al-Quran iaitu 11 kali, perkataan al-Nakhil pula diulang sebanyak tujuh kali, manakala perkataan Rutab dan Liinah pula masing-masing disebut sekali.
Secara umumnya, perkataan al-Nakhl memberi maksud pohon kurma. Perkataan al-Nakhlah digunakan untuk maksud sepohon kurma manakala al-Nakhil pula untuk memberi maksud pohon kurma yang banyak.
Perkataan Rutab pula memberi erti buah kurma yang masak, manakala perkataan Liinah pula mempunyai pelbagai tafsiran, antaranya pohon kurma yang tidak mengeluarkan 'ajwah atau kurma nabi dan ia adalah kurma yang paling bermutu.
Ada yang menafsirkan Liinah sebagai pohon kurma yang masih kecil dan sebahagian ulama mengatakan Nakhlah dan Liinah adalah dua nama yang mempunyai maksud yang sama.
Dalam al-Quran, Allah sering mengingatkan manusia bahawa pohon kurma yang tumbuh di bumi ini merupakan salah satu daripada tanda-tanda kekuasaan-Nya.
Oleh itu manusia hendaklah memerhatikan kekuasaan Allah itu dan mengakui keagungan-Nya. Contohnya, firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan. Maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau. Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu biji yang banyak; dan dari mayang kurma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun anggur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah dan (perhatikan pulalah) kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman. (al-An'am: 99)
Ayat di atas jelas menunjukkan kekuasaan Allah di dunia ini dengan menumbuhkan pelbagai jenis tanaman dan tumbuhan. Antaranya kurma, anggur, zaitun dan tumbuhan lain. Semua kejadian itu menunjukkan tanda-tanda kekuasaan Allah SWT bagi orang-orang yang beriman.
Nikmat yang wajib disyukuri
Kebun kurma adalah satu nikmat yang dikurniakan Allah kepada manusia yang semestinya disyukuri. Cara bersyukur adalah dengan cara menyedekahkan atau mengeluarkan zakat sebahagian daripada hasil buah kurma tersebut kepada fakir miskin.
Ini dijelaskan oleh Allah SWT yang bermaksud: Dan Dialah yang menjadikan kebun-kebun yang berjunjung dan yang tidak berjunjung, pohon kurma, tanam-tanaman yang bermacam-macam buahnya, zaitun dan delima yang serupa (bentuk dan warnanya) dan tidak sama (rasanya). Makanlah dari buahnya (yang bermacam-macam itu) bila dia berbuah, dan tunaikanlah haknya di hari memetik hasilnya (dengan disedekahkan kepada fakir miskin); dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan. (al-An'am: 141)
Dalam al-Quran, Allah SWT memberi perumpamaan terhadap pohon kurma dalam dua ayat iaitu surah al-Qamar ayat 20 dan surah al-Haqqah ayat 7.
Kedua-dua ayat itu menceritakan kisah kaum 'Ad yang dimusnahkan Allah kerana keingkaran dan kekufuran mereka dengan ribut yang sangat kuat.
Keadaan kemusnahan mereka itu diumpamakan seperti pohon-pohon kurma yang telah tumbang (Nakhlin mun'aqir) dan pohon-pohon kurma yang sudah usang (Nakhlin Khawiyah).
Dalam surah al-Baqarah ayat 266 pula Allah SWT memberi satu perumpamaan terhadap orang-orang yang menafkahkan hartanya dengan riak dan membangga-banggakan tentang pemberiannya kepada orang lain (tidak ikhlas), seperti seorang pemilik kebun kurma dan anggur yang luas namun ketika itu dia sudah tua, dia tidak dapat menjaga kebunnya dengan baik, sedangkan ketika itu juga anak-anaknya masih kecil.
Kemudian kebunnya itu musnah kerana terkena angin yang kencang dan terbakar oleh api marak. Maksudnya di sini adalah orang yang bersedekah tanpa keikhlasan tidak akan mendapatkan pahala di akhirat nanti seperti kebun kurma tersebut, meskipun luas dan subur tetapi kemudian terbiar, musnah dan terbakar.
Golongan yang ingkar
Dalam surah al-Israk ayat 91, Allah menceritakan kisah orang-orang kafir Mekah yang tidak mampu menandingi al-Quran, meskipun mereka adalah sasterawan yang hebat. Oleh kerana tidak mahu beriman, maka mereka mencari pelbagai alasan lain untuk menolak dakwah Nabi SAW.
Mereka turut mencabar agar nabi menunjukkan kemukjizatan-kemukjizatan baginda. Antara permintaannya adalah nabi membuat kebun kurma dan anggur yang mengalir di tengahnya sungai-sungai.
Dalam surah Taha ayat 71 pula diceritakan kemarahan Firaun kepada tukang-tukang sihirnya, selepas mereka beriman kepada Nabi Musa.
Firaun mengancam bahawa dia akan memotong tangan dan kaki tukang-tukang sihirnya yang beriman secara bersilang, dan dia akan menyalib mereka pada pangkal pohon kurma supaya orang ramai melihat keadaan mereka.
Dalam surah al-Kahfi ayat 32 pula Allah SWT menceritakan kisah dua orang lelaki yang seorangnya mukmin dan seorangnya kafir. Lelaki yang kafir ini mendapat nikmat yang banyak daripada Allah dengan dianugerahi kebun anggur dan kurma yang luas. Yang tidak mahu bersyukur dan tidak meyakini hari kiamat, kebunnya kurmanya di dimusnahkan Allah SWT sebagai hukuman di atas kesombongannya.
Kisah Maryam
Ayat ke 23 hingga 25 dalam surah Maryam menceritakan keadaan Maryam semasa hendak melahirkan Nabi Isa. Ketika itu Maryam merasa amat sakit sehingga dia bersandar pada pangkal sebatang pohon kurma. Semasa sakit tersebut dia mengadu kepada Allah dengan mengatakan alangkah baiknya sekiranya dia mati sebelum ini.
Namun Allah memberi khabar gembira kepadanya melalui malaikat Jibril agar jangan bersedih kerana Allah telah menciptakan aliran air di bawahnya dan memerintahkannya untuk menggoyangkan pangkal pohon kurma yang berada berhampirannya dan pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadanya.
Dia kemudiannya meminum air dan memakan buah kurma yang jatuh tersebut untuk mengembalikan kekuatan tubuhnya.
Sungguhpun prinsip umum dalam peperangan mengikut etika Islam ialah larangan daripada memusnahkan tanaman termasuklah kurma. Namun semasa memerangi orang kafir, tentera Islam diharuskan menebangkan pohon kurma sekiranya ada maslahat dan keperluan untuk melakukannya.
Hal ini dirakamkan oleh firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat lima.
Kurma sama ada pohon dan buahnya sering diulang-ulang oleh Allah SWT dalam al-Quran lebih daripada 20 kali.
Ini memberi gambaran bahawa pohon ini amat dekat di hati masyarakat ketika itu apatah lagi ia mempunyai nilai khasiat yang besar kepada kesihatan manusia. Nabi SAW sendiri menjelaskan kelebihan buah kurma dalam beberapa hadis baginda malahan perkara ini turut diakui oleh kajian sains moden.
Kelebihan-kelebihan kerana kandungan gizinya menjadikan ia salah satu juadah yang sangat sederhana namun sangat berkhasiat baik semasa berbuka maupun ketika sahur.
Jika kita memilih untuk berbuka dan bersahur dengan kurma maka semaikan pengajaran bagi diri dan seluruh kaum keluarga kita bahwa bahawa kurma itu sesungguhnya adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah SWT jua.
Langgan:
Catatan (Atom)